Monday, July 26, 2010

SRIKANDI MUJAHIDAH DI TERATAK SAYYID QUTB

Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah. Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.



Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.



Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.



Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.



Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.



Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu-tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.



Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan: “Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu...



Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika...



Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].



Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada “Sayyid”lah beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.



Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.



Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:



“Bonda...



Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?



Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”



Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman...



- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]

Thursday, July 22, 2010

Rahsia Sujud Di Dalam Solat



Pernahkah kita terfikir setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah SWT. Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda. Firman Allah SWT yang bermaksud:-
" Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar" (Surah Al-Ankabut ayat:45)
Segala rukun di dalam solat yang melibatkan qalbi (naluri), qauli (lisan) dan fi'li (perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah SWT dan amalan atau rukun yang paling disukai oleh Allah ialah rukun sujud.
Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan "rasa menghina dirinya" seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa
"Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan".
Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-
"Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah ( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)". (Hadis Riwayat Imam Tabrani).
Cerita Sujud:
Semasa malaikat-malaikat disuruh sujud kepada Nabi Allah Adam semua malaikat sujud apabila mereka bangun mengangkat kepala didapati malaikat yang bernama Azazil tidak sujud maka Allah SWT menjadi murka dan melaknat ke atasnya jadilah ia Iblis dengan bertukar rupa. Rupanya seperti kera dan badannya seperti babi justeru para malaikat merasa kecut dan takut lantas mereka sujud sekali lagi kerana syukur tidak kena laknat oleh Allah SWT.
1. SUJUD PERTAMA TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH)
Tatkala Nabi Muhammad SAW Israk dan Mikraj ketika sampai di langit yang ketiga para malaikat-malaikat di sana sememangnya sujud selama- lamanya tetapi dikehendaki waktu Nabi SAW sampai mestilah mengangkat kepala tanda hormat.
Apabila Nabi SAW memberi salam kepada para malaikat, semua malaikat itu bangun dari sujud kerana menjawab salam dan berkenalan dengan melihat wajah Nabi Muhammad SAW kemudian mereka sujud semula.
Telah bersabda Rasulullah SAW, Bumi keseluruhannya adalah masjid melainkan tempat perkuburan dan tempat mandi.
"Telah dijadikan untuk kita bumi seluruhnya adalah masjid. Maka jangan anda sapu pasir pada tempat sujud kerana rahmat Allah berada di hadapan. Dan berdebu muka ku untuk Allah yang maha Mulia lagi maha Tinggi sebab pasir kerana itulah puncak ibadah kepada Allah Taala. Tidak dikira bersolat bagi mereka yang tidak sampai atau kena hidungnya ke bumi (tanah) seperti juga dahinya".
Oleh kerana banyak hadis menyebut tentang bumi dan kaitannya dengan sujud maka para ulama bersepakat mengatakan sekurang-kurangnya mesti sekali seumur hidup solat dan sujud di atas bumi dengan tidak berlapik dan jika banyak kali adalah lebih baik. Maka dengan sebab itulah orang-orang yang bermazhab Syiah bersolat di atas bumi atau dengan membawa kemana-mana sapu tangan yang khas ada di atasnya tanah untuk lapik sujud.
Firman Allah SWT yang bermaksud:- " Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri" (Surah As-Sajadah ayat 15).
Di dalam perlakuan sujud itu ada simbolik dan hikmah yang harus fahami dan hayati. Iaitu bersama terancap dan ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi, pergerakan yang sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah SWT dan penyerahan secara total seorang hamba terhadap Penciptanya dalam menerima serta mematuhi segala perintah dan larangan dari-Nya. Jangan sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud tetapi di dalam kehidupan seharian kita bersifat "jauh api dari panggang" didalam erti kata yang lain kita tidak tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha Sempurna.
Sesungguhnya asal kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran adalah dijadikan dari tanah maka setiap kali seseorang itu sujud adalah bertujuan mengasuh hatinya bahawa ia kelak akan dikembalikan kepada tanah iaitu menemui kematian seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Dengan demikian bererti sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan asal kejadiannya tetapi juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajal kematian. Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.
Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, "Subhana Rabbial- A'la wa-Bihamdih".
Sujud bukan sahaja mendekatkan kita dengan Allah SWT tetapi dari sudut perubatan pun ada hikmahnya. Antara hikmah sujud menurut keterangan perubatan ialah:-
1. Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
3. Melegakan sakit hernia.
4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
5. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.
6. Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.
7. Meringankan bahagian pelvis.
8. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud.
9. Gerakan otot-otot ini menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelancaran darah.
10. Bagi wanita gerakan otot ini menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi.
11. Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal .
12. Mengurangkan kegemukan.
13. Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
14. Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.
15. Memberi dorongan untuk mudah tidur.
Selain itu kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh).